Kejayaan lawatan ke Jerman hasil kerjasama perkhidmatan awam - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menyifatkan kejayaan lawatan ke Jerman amat luar biasa kerana hasil kerjasama berpasukan perkhidmatan awam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan itu ialah usaha setiap jabatan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Luar yang membuat persiapan awal.

"Dia (pelabur) nilai kita jauh lebih cekap, keputusan cepat dan tidak berlaku ketirisan. Saya jumpa beberapa (syarikat) besar yang setuju labur segera, pandangan mereka terhadap dasar kerajaan, pimpinannya dan penjawat awam sangat positif.

"Saya ingin ambil peluang melalui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk katakan alhamdulillah, syukur dan bangga berkhidmat dengan semangat penjawat awam sedemikian kerana kesannya dan sambutannya luar biasa,” kata beliau ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Sabtu lepas, Perdana Menteri berkata, lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman baru-baru ini, berjaya mengukuhkan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara.

Jerman dilaporkan bersetuju membantu Malaysia dalam aspek pembangunan kapasiti, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program pertukaran tenaga pekerja antara pemain industri dan institusi pendidikan.

Anwar juga berkata, dalam perbincangan tertutup dengan pelabur, mereka memuji komitmen diberikan negara untuk membawa masuk pelaburan daripada semua sudut.

"Saya saja provokasi (bertanya sama ada) lambat tak (urusan pelaburan), ada masalah tidak atau perlu buat komisen?....Hal ini semua saya tanya dalam perbincangan tertutup, mereka beri jawapan sangat baik dan sangat melegakan saya.

Artikel Berkaitan:

"(Ia) tunjuk keupayaan kita, kalau inilah semangat kita, kita boleh lonjakkan ekonomi ... dalam simpang-siur politik, tidak ada yang baik, semua jelek belaka tetapi kita percaya lihat pada angka dan data," kata beliau.

Anwar berkata, sokongan dan dukungan media antarabangsa terhadap pengucapan dan dasar diamalkan Malaysia ketika ini juga dilihat amat positif.

Mengulas kritikan kononnya lawatan ke Jerman adalah untuk berseronok, Anwar menangkis dakwaan itu dan menegaskan lawatan berkenaan adalah untuk menaikkan imej Malaysia.

"Percayalah, di Jerman lima hari kedai mana pun saya tidak pergi, saya tiada kerja lain (hanya) dari hotel ke bilik mesyuarat dan ada waktu lapang saya panggil sarjana seluruh Eropah bincang isu Islamofobia.

"Adakah sebagai perdana menteri saya tidak boleh ke luar negara? Saya terpaksa kerana kita tidak dapat dukungan sebegitu rupa kalau tidak santuni," kata beliau.

Anwar turut memohon maaf sekiranya tindakan beliau berjalan-jalan ketika waktu senggang pada lawatannya di Jerman dianggap satu kesalahan.

Sementara itu, Anwar berkata, syarikat pelaburan dari China, Australia atau Jerman yang telah lama bertapak di negara ini turut memuji imej positif negara dan perkhidmatan awam dalam menguruskan urusan pelaburan.

"Mereka (pelabur) nyatakan kepada saya, mutakhir ini ada satu disiplin baharu dan mereka puji sungguh dalam cara kita menyantuni, menjawab permintaan dan meluluskan permintaan.

"Saya harap kita (penjawat awam) tumpu ini, percayalah dalam beberapa tahun, kita boleh angkat semula martabat negara kita," kata Perdana Menteri. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!