Program Intervensi Literasi dan Numerasi untuk murid belum kuasai 3M
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program Intervensi Literasi dan Numerasi sebagai pengesanan awal murid Tahun 1 yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif berkenaan bermula sesi akademik 2024/2025 yang mana pengesanan awal dilaksanakan melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) setelah murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan.
"Selepas tiga bulan, murid yang dikenal pasti belum menguasi 3M akan diasingkan dari kelas semasa dan diletakkan di bawah program ini selama tiga bulan," katanya ketika sidang akhbar khas intervensi Kurikulum di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini pada Isnin.
Ujarnya, murid terbabit akan berada di bawah program intervensi berkenaan selama tiga bulan bermula Julai.
"Jika mereka telah mencapai tahap penguasaan di dalam tempoh intervensi tersebut, murid akan dikeluarkan dan diletakkan semula di dalam kelas asal.
"Murid yang masih lemah akan menerusi Program Intevensi Literasi dan Numerasi bagi tempoh tiga bulan lagi," jelas beliau.
Menurut Fadhlina, KPM juga memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan oleh ibu bapa dan guru seperti aras kurikulum yang tinggi serta kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid.
"Bagi menangani kesemua isu tersebut, KPM menyediakan Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I yang digunakan mulai sesi ini.
"Dokumen ini disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap I," katanya.
Beliau berkata, dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul.
Berhubung dengan pelaporan PBD sukar difahami dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan PBD, Fadhlina berkata, KPM mengambil langkah untuk mempermudahkan perkara tersebut.
"Selain itu pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred," kata Fadhlina.
Tambah beliau, pelaporan PBD boleh diakses oleh ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.
"Sekarang ibu bapa boleh melihat pelaporan ini secara dalam talian," kata Fadhlina.
Menurutnya, penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 akan dibuat bermula 19 Mac kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.
"Agenda reformasi pendidikan KPM memastikan tambah baik yang berterusan untuk meningkatkan kualiti demi manfaat semua murid," katanya.
Ujar beliau, kurikulum adalah bersifat dinamik dan progresif serta memerlukan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa agar seiring serta relevan dengan keperluan masa kini dan akan datang.
"Maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, merupakan salah satu sumber maklumat yang penting dalam pembangunan kurikulum," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata KPM juga mengambil pendekatan untuk melihat ke hadapan, terutamanya dalam rangka persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter.
"Kementerian amat menghargai keprihatinan dan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap kurikulum persekolahan sedia ada," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!