'Anda boleh tewaskan mana-mana lawan selepas ini' - Ten Hag

Amad Diallo antara pencetak gol United ketika menumbangkan Liverpool di Old Trafford. Foto Agensi
Amad Diallo antara pencetak gol United ketika menumbangkan Liverpool di Old Trafford. Foto Agensi
A
A
A

MANCHESTER United digesa menjadikan kemenangan fantastik 4-3 ke atas Liverpool pada aksi suku akhir Piala FA sebagai batu loncatan untuk The Red Devils mengakhiri saingan musim ini dengan kejayaan gemilang.

"Ini mungkin masa dan motivasi terbaik untuk pasukan.

"Pasukan mempunyai kepercayaan dan tenaga untuk melakukan perkara yang menakjubkan.

"Apabila anda menewaskan Liverpool, anda boleh menewaskan mana-mana lawan lain selepas ini," kata Ten Hag selepas kemenangan di Stadium Old Trafford tersebut.

Pemain gantian Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-121 untuk mengesahkan kemenangan luar biasa 4-3 selepas masa tambahan untuk membolehkan United layak ke separuh akhir menentang kelab Liga Kejuaraan Coventry City di Stadium Wembley bulan depan.

Anak buah Ten Hag musim ini mengharungi kempen domestik dan antarabangsa yang mengecewakan, namun masih boleh menamatkan saingan dengan trofi dan kedudukan liga untuk slot Liga Juara-Juara.

Ten Hag juga berdepan persoalan mengenai masa depannya berikutan ketibaan pemilik bersama baharu Sir Jim Ratcliffe, tetapi pengendali Belanda itu berkata pemainnya menunjukkan sebab dia adalah orang yang tepat untuk tugas itu dengan persembahan mantap menentang skuad Jurgen Klopp.

“35 minit pertama, kami telah menunjukkan sekali lagi bahawa masa depan pasukan ini sangat cerah...

Artikel Berkaitan:

"Terdapat potensi besar... Tempoh 35 minit pertama sangat menggembirakan. Mereka adalah watak dengan keazaman yang hebat.

“Musim ini kami mempunyai begitu banyak halangan dan setiap kali itu jugalah kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi,” katanya.

Ten Hag turut memuji wira Red Devils, Amad, yang dibuang padang semasa meraikan jaringannya selepas menerima layangan kad kedua setelah menanggalkan jersinya.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang dikaitkan dengan perpindahan pinjaman pada Januari, hanya bermain selama 88 minit musim ini, namun memberi impak penting sebagai pemain gantian lewat perlawanan menentang Liverpool.

"Saya sangat gembira dengannya. Dia adalah salah seorang pemain berdepan cabaran besar.

"Dia kembali tetapi terdapat banyak persaingan di posisinya sehingga dia tidak selalu mendapat masa yang sepatutnya ketika bermain.

"Dia menyumbang dalam menjaringkan gol, tetapi kami tahu dia boleh melakukannya," kata Ten Hag.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!