Dua mat rempit ditahan guna nombor plat kereta

Motosikal yang disita semasa operasi di Bukit Ampang, pada Sabtu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran kereta.
Motosikal yang disita semasa operasi di Bukit Ampang, pada Sabtu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran kereta.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki menerima padah apabila ditahan akibat menggunakan nombor pendaftaran kereta pada motosikal ditunggangnya ketika merempit di Bukit Ampang, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua penunggang itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurutnya, pemeriksaan pada motosikal jenis Yamaha Y15 itu mendapati nombor pendaftaran yang tertera adalah didaftarkan pada kereta.

"Kedua-dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu kemudian dibawa ke BSPT IPD Ampang Jaya untuk siasatan bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut.

"Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak melebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dalam operasi di ‘port’ golongan remaja berkumpul dengan melakukan aksi yang berbahaya dan menguji kekuatan bunyi motosikal, polis turut mengeluarkan 47 saman hasil pemeriksaan 15 kenderaan.

Katanya, antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai ekzos.

"Kita tela menyita 10 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!