Pura-pura qiamullail sebelum kebas beg telekung di masjid

Rakaman CCTV suspek mencuri sebuah beg di ruang solat wanita di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati berjaya dirakam CCTV pada Ahad.
Rakaman CCTV suspek mencuri sebuah beg di ruang solat wanita di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati berjaya dirakam CCTV pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang wanita berpura-pura mahu melakukan qiamullail sebelum mencuri sebuah beg telekung jemaah wanita dalam kejadian di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati pada Ahad.

Bagaimanapun, kejadian jam 5.40 pagi itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu sebelum rakamannya tular di media sosial.

Pengurus masjid itu, Luqman Hafiz Mohd Amir berkata, berdasarkan rakaman CCTV, suspek dipercayai berlegar-legar di ruang solat wanita.

"Hasil penelitian CCTV kita dapati wanita itu hanya menunaikan solat hajat di penghujung qiamullail sebelum mencuri beg telekung tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Luqman Hafiz berkata, tindakan itu dilakukan sebaik semua jemaah wanita selesai mengikuti qiamullail dan keluar ke khemah untuk bersahur.

"Wanita itu memakai telekung separuh dan kemudian menanggalkannya sebelum menghampiri rak berdekatan pintu belakang.

"Pada mulanya, wanita itu cuba menyelongkar beg tersebut, namun menyedari jemaah yang selesai bersahur mula masuk ke dalam ruang solat, dia kemudiannya terus keluar dari masjid," jelas beliau.

Luqman Hafiz memberitahu, kejadian kecurian itu disedari seorang wanita berusia 60 tahun selepas mendapati beg telekung yang diletakkan berhampiran rak pintu belakang hilang.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudiannya berjumpa dengan pengurusan masjid dan hasil semakan CCTV mendapati beg itu telah dicuri suspek terbabit.

"Kami dimaklumkan, beberapa barangan dalam beg itu dicuri antaranya telekung dan sejumlah wang," katanya.

Ujar beliau, kes kecurian beg jemaah lain di ruang solat merupakan kejadian kali pertama di masjid itu.

"Saya juga dimaklumkan, malam sebelumnya berlaku kes kecurian semasa solat tarawih di sebuah masjid berdekatan juga membabitkan jemaah wanita," tambah beliau.

Katanya, masjid itu mengadakan aktiviti qiamullail setiap awal pagi Ahad sepanjang Ramadan bagi mengimarah rumah ibadah itu di samping melakukan aktiviti bermanfaat.

"Biasanya aktiviti qiamullail ini dilakukan sebulan sekali, namun dengan kedatangan Ramadan kita mengadakan program ini sekali seminggu," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa mengesahkan menerima laporan polis tersebut.

"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!