FAMA Kelantan bantu beli, pasarkan 170 tan metrik tembikai wangi
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan membantu membeli dan memasarkan 170 tan metrik tembikai wangi yang diusahakan oleh petani di Ladang Kontrak Projek Kampung Banggol, di sini pada Isnin.
Pengarahnya, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, hasil keluaran itu akan dipasarkan ke Lembah Klang, Pahang dan Negeri Sembilan selain memenuhi permintaan tempatan.
"Kita sedia maklum tembikai wangi Banggol merupakan paling manis yang ada di Malaysia.
"Projek ini diusahakan oleh 31 petani di tanah seluas 24.3 hektar," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Peserta Ladang Kontrak Projek Kampung Banggol, di sini.
Menurut Wan Faizatul Aniza, selain itu tembikai wangi mendapat permintaan tinggi di pasaran lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
Ujarnya, FAMA membeli buah tersebut dengan harga lantai RM1 sekilogram daripada petani.
Beliau memberitahu, pembelian tersebut bermula 19 hingga 25 Mac ini.
"Dengan cara ini FAMA dapat menjamin pendapatan pengeluar melalui kontrak pembelian dan memastikan hasil pengeluaran peserta dapat dipasarkan serta tiada lambakan berlaku," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!