Cuaca panas tidak jejaskan bekalan sayur di Kelantan
KOTA BHARU - Cuaca panas yang sedang melanda negara tidak menjejaskan bekalan sayur-sayuran di negeri ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu tersebut.
"Kami tidak terima apa-apa aduan samaada melibatkan masalah pemasaran atau pun pengeluaran.
"Di Kelantan, kita ada RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) yang menyediakan kemudahan dari segi pemasaran, pemborongan dan peruncitan untuk mereka memasarkan sendiri produk," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Peserta Ladang Kontrak Projek Kampung Banggol, di sini.
Media tempatan sebelum ini melaporkan pengeluaran hasil sayuran negara dijangka terjejas sehingga 40 peratus mulai bulan depan menyebabkan harganya di pasaran melambung susulan pengusaha tanaman menghadapi krisis tenaga kerja.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata, ia berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.
Katanya, senario itu akan menyebabkan harga sayuran di pasaran meningkat mendadak apabila bekalan sayuran berkurangan dengan hasil sayuran tidak dapat dikeluarkan seperti biasa akibat kekurangan tenaga kerja.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!