PATI sanggup gadai nyawa elak ditahan
SHAH ALAM - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menggadaikan nyawa lari ke arah jalan raya semata-mata mahu memboloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.
Itu antara kejadian yang berlaku apabila Jabatan Imigresen Selangor menyerbu di dua buah tapak rumah kongsi di kawasan pembinaan di Bukit Raja dan Puncak Alam di sini malam tadi.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, Operasi Bersepadu bermula jam 11 malam itu telah memeriksa 498 warga asing sebelum bertindak menahan 97 PATI termasuk seorang kanak-kanak lelaki serta 19 wanita.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 73 warga Indonesia, Bangladesh (12), Myanmar (Myanmar) dan India (1).
"Antara kesalahan yang dikesan dilakukan PATI adalah tinggal tanpa pas atau permit yang sah dan tinggal lebih masa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi yang berakhir jam 5 pagi itu, terdapat cubaan PATI yang bertindak nekad melarikan diri ke arah jalan raya selain bersembunyi di dalam longkang dan di bawah timbunan kayu namun tindakan itu berjaya digagalkan.
Mohamad Shukri berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan dua hingga 50 tahun telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.
"Siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang telah menggajikan PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan ini juga akan turut dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama.
Tegas Mohamad Shukri, pihaknya sentiasa komited untuk terus memantau dan menjalankan operasi secara berterusan bagi membendung gejala PATI daripada semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!