Jala mas, bunga tanjung, tahi itik pilihan semasa Ramadan
KOTA BHARU - Permintaan tinggi kuih tradisional jala mas, bunga tanjung dan tahi itik ketika Ramadan mendorong seorang pengusaha meningkatkan pengeluaran kuih manisan itu dengan menggunakan 4,000 telur ayam sehari.
Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 66, berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding hari biasa yang hanya menggunakan 400 biji telur seminggu untuk menghasilkan kuih-muih tersebut.
Menurutnya, jala mas, bunga tanjung dan tahi itik dihasilkan itu masih mengekalkan resipi warisan arwah isterinya, Nik Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia pada tahun 2017.
“Saya sudah berniaga selama 20 tahun dan menggunakan telur gred AA walaupun harganya lebih mahal iaitu 55 sen sebiji bagi mendapatkan telur kuning berkualiti dengan warna lebih cantik.
“Sebanyak 4,000 biji telur digunakan setiap hari dengan kuningnya diambil untuk menghasilkan jala mas dan bunga tanjung manakala telur putih pula digunakan untuk membuat tahi itik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tikat, di sini pada Isnin.
Mohammed berkata, selain telur, bahan penting untuk menghasilkan jalan mas, bunga tanjung dan tahi itik ialah air gula.
Ujarnya, pembuat kuih perlu mempunyai kemahiran untuk melarutkan air dan gula supaya tidak terlalu pekat atau terlalu cair sebelum mengirai jala mas dan merebus bunga tanjung.
“Saya menggunakan acuan roti jala untuk mengirai jala mas dalam air gula yang memiliki kelikatan sederhana.
“Air gula yang terlalu cair akan menyebabkan helaian jala mas melekat antara satu sama lain manakala jika air gula terlalu pekat akan menyebabkan jala mas menjadi putus dan tidak terbentuk dengan elok,” katanya.
Tambah Mohammed, walaupun harga bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan kuih tradisional itu mahal, dia tetap mengekalkan harga jualan kuih-muih seperti tahun lalu.
Kata Mohammed, kerja-kerja membuat kuih itu dimulakan pada jam 7 pagi setiap hari semasa bulan puasa dengan dibantu anak-anak serta 16 pekerja.
“Saya tidak menaikkan harga kuih walaupun mengalami penyusutan untung kerana tidak tergamak bila memikirkan pelanggan tetap yang datang membeli.
“Jala mas ini dijual RM13 sebekas manakala buah tanjung dan tahi itik ditawar pada harga RM6 sebekas melalui gerai yang dibuka di hadapan rumah sepanjang Ramadan,” katanya yang menerima pelanggan dari seluruh Kelantan termasuk Pasir Mas, Jeli, Rantau Panjang dan Tumpat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!