Ramasamy dakwa UMNO lakukan pengkhianatan terbesar terhadap BN
SHAH ALAM - Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P Ramasamy menempelak kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menggelar beliau pengkhianat, sebaliknya menyatakan bahawa UMNO yang telah melakukan pengkhianatan terbesar terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN).
Beliau mendakwa, UMNO telah menjadikan MCA dan MIC terpinggir dalam politik Malaysia.
"Hari ini, gabungan Barisan Nasional hanya wujud dalam nama sahaja. UMNO sudahpun mengambil alih dan mengkuburkan gabungan politik itu.
"MCA dan MIC yang tegas bersama UMNO, kini sudahpun ‘disapu bersih’ dari konteks politik. Bukankah ini pengkhianatan terhebat UMNO?," soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Ramasamy tidak layak bercakap soal pengkhianatan susulan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang menyelar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kerana mendakwa Bersatu 'dilahirkan daripada pengkhianatan'.
Ini kerana kerana Ramasamy sendiri keluar daripada DAP dan menubuhkan parti baru setelah tidak tersenarai sebagai calon pada PRU-15.
Ramasamy menjelaskan, beliau hanya menegaskan agar Asyraf perlu berhati-hati dalam kenyataannya, kerana UMNO sendiri kini sedang berada dalam satu gabungan politik bersama PKR dan DAP, yang pernah menjadi musuh utama UMNO sebelum ini.
"Seperti yang saya merujuk kepada Asyraf, bagaimana UMNO tidak mempunyai masalah untuk berkerjasama dengan PKR, satu parti serpihan UMNO, sama seperti Bersatu. Kalau parti Bersatu ditakrifkan parti pengkhianat, gelaran sama juga terpakai untuk PKR (Parti Keadilan Rakyat).
"Tetapi, hipokrasi dan ketamakan pemimpin UMNO yang menagihkan kuasa terserlah, apabila mereka tidak menyamakan PKR seperti itu,"katanya.
Katanya lagi, kedudukan UMNO kini sama seperti lilin yang akan bersinar terang sebelum terpadam selamanya dan kerana itu UMNO sedang cuba sedaya upaya untuk memenangi undi orang Melayu.
"Mustahil untuk UMNO muncul sebagai 'juara' masyarakat Melayu. Pas dan Bersatu sudah pun mula mengambil alih tempat tersebut.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk Wan Rosdy kaji balik kedudukan sendiri di negeri Pahang yang kekurangan kemajuan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!