LTdL 2024 bermula di Langkawi, berakhir di Sarawak
PULAU Legenda, Langkawi akan kembali menggamit pelumba-pelumba berbasikal dunia apabila tersenarai dalam laluan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL 2024) yang akan bermula pada 29 September sehingga 6 Oktober.
Lebih menarik untuk edisi ke-28 kali ini, dua peringkat perlumbaan akan diadakan buat julung kalinya di Sarawak membabitkan dua bandar di negeri itu iaitu Bintulu dan Miri.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pemilihan dua peringkat di Sarawak adalah untuk membawa perlumbaan berprestij itu dinikmati oleh rakyat tempatan di Miri dan Bintulu selepas kali terakhir LTdL berlangsung di Kuching pada 2020.
"Selain itu, pelumba juga bakal diuji dengan jarak perlumbaan hampir 200 kilometer (km) untuk peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu yang menyediakan peluang membuat pemecahan (breakaway) dan mampu menjadi penentu juara LTdL.
"Secara keseluruhan 11 negeri akan menjadi hos pelepasan dan penamat membabitkan jarak keseluruhan 1, 191 km untuk laluan LTdL 2024 dan dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
"Tiga negeri tidak terlibat dalam edisi kali ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dan Pengumuman Laluan Petronas LTDL 2004 di MSN, Bukit Jalil pada Isnin.
Tiga pasukan berbasikal negara dijangka menyertai perlumbaan kali ini iaitu Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Profesional Cycling (MPC).
Selain itu, pasukan dari luar negara turut dijangka akan menyertai LTdL kali ini membabitkan negara Kazakhstan, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Switzerland, Australia, China, Indonesia dan Jepun dengan pengesahan penyertaan hanya akan dapat dipastikan pada Ogos nanti.
Hannah turut mengalu-alukan sokongan tambahan daripada penaja korporat dengan jaminan pulangan pelaburan yang bersesuaian demi memastikan kejayaan penganjuran kali ini.
"Tahun 2024 menjanjikan ujian yang lebih mencabar untuk penganjuran LTdL. Faktor kos logistik tambahan seperti kos keluar dan masuk dari Pulau Langkawi serta 'charter flight and cargo' ke Sarawak bakal menguji kemampuan penganjur.
"Kita harap lebih banyak lagi syarikat korporat untuk bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam penganjuran Ltdl ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!