Stoking tertera kalimah ALLAH: Penguatkuasaan perlu dibuat lebih awal
PUTRAJAYA - Isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di kedai serbaneka, KK Mart merupakan satu perbuatan yang perlu dicegah lebih awal di peringkat penguatkuasaan.
Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, apabila telah berlaku keadaan seperti itu, tindakan perlu dikuatkuasakan.
"Ini kerana ia telah menyentuh isu sensitiviti umat Islam bahkan terdapat unsur penghinaan terhadap agama Islam sebagai agama Persekutuan negara," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penjualan stoking kalimah ALLAH di salah satu cawangan KK Mart di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor yang tular minggu lalu.
Meskipun begitu beliau berkata, keupayaan agensi penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini dapat menangani dan membendung kejadian seumpamanya daripada terus membarah.
"Namun begitu, Yadim tetap melihat perkara ini perlu dinilai dan dikaji secara menyeluruh dalam setiap proses aktiviti rantaian bekalan," katanya.
Jelas beliau, penelitian harus bermula dari sudut pembangunan produk, bekalan, pengilangan, import dan eksport, kelulusan penjualan sehingga ke peringkat penjualan di premis di dalam negara.
"Yadim turut memandang positif bahawa perasaan umat Islam cukup sensitif terhadap kesucian agama Islam yang wajib dipelihara," katanya.
Tambah beliau, rakyat diseru agar tidak membelakangi undang-undang dalam memberikan tindak balas berkait isu berkenaan.
"Kita mendoakan isu ini selesai dengan penuh tertib dan melalui proses undang-undang," katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!