Ambil iktibar Covid-19, perkukuh sistem kesihatan - Dr Noor Hisham
PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah meminta semua pihak mengambil iktibar daripada jangkitan wabak Covid-19 yang melanda negara empat tahun lalu dengan dengan memperkukuhkan sistem kesihatan masing-masing.
Ujar beliau, langkah tersebut perlu diambil agar semua lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang.
"Hari ini 18 Mac empat tahun lalu, kita menghadapi hari pertama 'lockdown' dan penguatkuasaan Akta 342 yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh Covid-19," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Mengimbau kembali situasi pada masa itu, Dr Noor Hisham berkata, saat negara bergelut dengan ketiadaan ubat dan vaksin serta ditambah oleh kapasiti ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) Covid-19 yang terhad, hanya ketahanan dan perpaduan menjadi satu-satunya benteng sistem kesihatan negara.
"Sudah tiba masanya di bulan Ramadan yang mulia ini, kita merenung kembali dan memanfaatkan pengajaran dipelajari untuk lebih bersedia dan memperkukuh sistem kesihatan kita," kata bekas Panglima Perang Covid-19 itu.
Ujarnya, semua pihak harus menghitung segala usaha yang dilakukan semasa waktu sukar yang lalu.
"Janganlah kita lupa perpaduan yang telah kita lalui, merangkumi pendekatan keseluruhan kerajaan dan seluruh masyarakat.
"Jangan lupa semangat kekitaan dan pemerkasaan masyarakat.
"Jangan kita lupakan nyawa yang melayang dan mobiliti akibat Covid-19 yang panjang.
"Ketakutan terbesar saya ialah orang ramai melupakan apa yang mereka pelajari semasa pandemik Covid-19 dan tidak melabur dalam kesihatan dan sistem kesihatan mereka," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!