'Tiada kompromi sentuh 3R' - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kompromi dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Katanya, perkara itu sering kali diingatkan pihaknya agar bersama menjaga sensitiviti semua pihak.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap masa memantau isu sebegini demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

"Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, masyarakat digesa salurkan maklumat dengan membuat laporan polis agar tindakan dan siasatan dapat diambil.

Tegasnya, siasatan kes ini akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Polis memandang serius isu 3R ini dan kita mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang provokasi yang mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat.

"Polis mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dalam berkongsi pandangan atau pendapat menerusi media sosial tanpa menyentuh sebarang isu sensitif," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular di media sosial.

Selain itu, seorang pengguna Facebook iaitu Ricky Shane CA turut tampil membuat permohonan maaf selepas dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah ALLAH dalam isu stoking.

Lelaki itu kini disiasat polis di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Dalam kes berlainan, tular rakaman video di laman sosial, memaparkan seorang wanita masuk ke ruang solat lelaki Masjid Jamek Ar-Rahman di Pulau Pinang, pada 12 Mac lalu, dikatakan meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan suara bacaan bilal dan imam selain bertanyakan soalan dianggap kurang sopan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!