Isu stoking kalimah ALLAH: 42 laporan diterima, dua kertas siasatan dibuka
KUALA LUMPUR - Polis membuka dua kertas siasatan terhadap laporan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di kedai di serbaneka KK Mart di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 42 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu tersebut.
"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Shuhaily berkata, kes masih di peringkat siasatan dan rang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
"Polis turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial," katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan pihak KK Mart antara beberapa individu yang akan dipanggil polis untuk siasatan berhubung isu tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kesemua mereka dan saksi ini akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat ini.
Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!