Nelayan Pulau Pinang dalam dilema - JEDI

Pada Ahad Sinar Harian melaporkan, pendaftaran Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dalam kalangan nelayan yang layak setakat ini telah mencapai 92.3 peratus.
Pada Ahad Sinar Harian melaporkan, pendaftaran Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dalam kalangan nelayan yang layak setakat ini telah mencapai 92.3 peratus.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) mempertikaikan kenyataan Penang Infrastructure Corporation (PIC) yang mendakwa kadar pendaftaran tinggi untuk Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) menunjukkan sokongan terhadap Pemilik Projek Penambakan Pulau Silikon.

Menerusi satu kenyataan, JEDI memaklumkan hasil tinjauan dan interaksi dibuat pihaknya dengan nelayan pantai yang terjejas oleh projek itu memberi gambaran berbeza.

Menurut kenyataan itu, nelayan melaporkan berlaku penurunan ketara dalam kadar tangkapan terutamanya untuk udang besar yang tinggi nilainya sejak penambakan dimulakan pada September tahun lalu.

"Ramai nelayan yang sebelum ini menentang penambakan kini menghadapi dilema sama ada teruskan bantahan terhadap projek penambakan sedang dijalankan dan mengalami kadar tangkapan yang rendah atau dengan berat hati mendaftar untuk pembayaran ex-gratia SIMP sebelum permohonan ditutup secara kekal.

"Dengan hasil tangkapan semakin berkurangan menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai yang memilih pilihan kedua," katanya.

JEDI yang merupakan organisasi memperjuangkan hak orang ramai kepada persekitaran yang selamat, sihat, dan mampan mendakwa peningkatan dalam pendaftaran SIMP ini bukanlah tanda sokongan terhadap projek tetapi mencerminkan kesan buruk penambakan terhadap mata pencarian nelayan.

Tambahan pula, katanya, dakwaan PIC bahawa tinjauan komprehensif mereka tidak menunjukkan apa-apa kesan ke atas tangkapan nelayan juga tidak meyakinkan, memandangkan kegagalan mereka memberikan sebarang data sokongan.

"Kekurangan ketelusan ini amat berbeza dengan data yang dikeluarkan oleh Unit Nelayan Sungai Batu.

Artikel Berkaitan:

"Data menunjukkan penurunan ketara dalam tangkapan udang bagi Januari tahun ini berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, serentak dengan permulaan projek penambakan," ujarnya.

Mengikut data yang diberikan, purata tangkapan udang pada Januari tahun ini menurun mendadak iaitu 120.91 kilogram (kg) berbanding 286.04 kg pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan penemuan ini, JEDI menggesa Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar menjalankan siasatan segera ke atas kesan projek penambakan Pulau Silikon terhadap tangkapan udang rendah yang dilaporkan oleh Unit Nelayan Sungai Batu dan nelayan lain yang terjejas.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pendaftaran SIMP bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dalam kalangan nelayan yang layak setakat ini telah mencapai 92.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Farizan Darus berkata, jumlah itu termasuk 100 peratus pendaftaran dari unit Permatang Tepi Laut dan Gertak Sanggul serta 92.3 peratus dari unit Teluk Tempoyak.

Menurutnya, Jabatan Perikanan Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa 80 peratus iaitu 215 daripada 272 nelayan yang masih belum mendaftar untuk SIMP adalah tidak aktif atau tidak lagi layak.

"Unit-unit lain iaitu Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burong juga secara amnya telah mencatatkan lebih daripada 92 peratus pendaftaran kecuali unit Sungai Batu iaitu 54.2 peratus.

"Sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak tetapi masih belum mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran SIMP iaitu pada hujung bulan ini (31 Mac).

"Kadar pendaftaran yang tinggi itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan komuniti nelayan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menepati manfaat yang dijanjikan termasuk pembayaran ex-gratia, penyediaan bot dan enjin baharu, bantuan pendidikan, bangsal baharu, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan cadangan SIMP merangkumi pakej pemberian saguhati selain program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan dan skim perumahan.

Nelayan yang akan menerima manfaat tersebut terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap 1 adalah mereka dari kawasan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Bagi tahap 2, mereka adalah dari Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong.

Tekong dan awak-awak dari unit tahap 1 masing-masing akan menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi tahap 2, akan menerima RM13,200 dan RM5,400.

Tekong tahap 1 akan ditawarkan bot sepanjang 8.2 meter dan enjin berkuasa kuda 60 atau 75.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!