Beg berisi barang kemas lebih RM10,000 tercicir semasa tarawih
KOTA BHARU - Seorang warga emas menawarkan ganjaran kepada individu yang menjumpai beg berisi barangan kemas bernilai lebih RM10,000 selepas dipercayai tercicir ketika menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Kubang Kerian, di sini pada Sabtu lalu.
Anak perempuan wanita itu yang dikenali sebagai Huda, 26, berkata, ibunya yang tinggal di Beris Kubur Besar, Bachok ke masjid tersebut setiap malam semasa Ramadan.
Kata Huda, ibunya menyedari beg itu hilang selepas pulang dari tarawih pada hari berkenaan dan masih berada dalam keadaan bersedih kerana barangan kemas yang hilang itu memiliki nilai sentimental.
“Saya nak minta tolong kalau ada yang terjumpa beg kecil berwarna biru muda berisi emas yang agak banyak kepunyaan ibu saya.
“Dalam beg itu ada cincin perkahwinan, gelang, cincin pusaka arwah nenek dan banyak lagi. Sekarang ibu sedang bersedih dan sangat terkejut sebab jumlah kehilangan agak banyak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Huda berkata, dia tidak menolak kemungkinan beg tersebut tercicir di kawasan Bachok selain di masjid tersebut.
Ujarnya, individu yang terjumpa beg tersebut boleh menghubunginya di talian 013-8125745 untuk dipulangkan.
“Pada bulan Ramadan yang berkat ini dan kalau masih rezeki ibu saya, sesiapa yang terjumpa beg itu boleh hubungi kami segera.
“Insya-ALLAH ganjaran akan diberikan kepada individu yang jumpa dan kembalikan beg serta barangan kemas itu,” katanya.
Huda turut berkongsi tawaran itu di media sosial Facebook dan menerima reaksi orang ramai yang mendoakan semoga barangan kemas itu dijumpai semula.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!