1,199 kes kemalangan, 9 kematian direkodkan
KUALA LUMPUR - Jumlah kemalangan jalan raya terus mencatatkan penurunan dua hari berturut-turut dengan 1,199 kes direkodkan di seluruh negara pada Ahad.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Saperi berkata, jumlah itu menurun sebanyak 340 kes berbanding 1,539 kes yang dicatatkan pada Sabtu.
"Jumlah kematian yang direkodkan semalam (Ahad) mencatatkan sebanyak sembilan kematian, iaitu penurunan empat kes, berbanding 13 yang direkodkan pada Sabtu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Azman berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan agar memandu secara berhemah dan sentiasa mengikuti peraturan yang telah ditetapkan serta memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.
""Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita," katanya.
Terdahulu, JSPT Bukit Aman menyiarkan maklumat statistik jumlah kes kemalangan jalan raya dan kematian secara harian, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya.
Mohd Azman dilaporkan berkata, statistik kemalangan jalan raya tentang kes kemalangan dan kematian seluruh Malaysia itu dikeluarkan secara masa nyata dengan mengambil data kemalangan yang berlaku pada hari sebelumnya.
Penyiaran berbentuk info grafik akan dimuat naik menerusi laman sosial rasmi JSPT seperti Facebook, Instagram dan X bermula Jumaat lalu.
Penyiaran data statistik itu kepada umum adalah sebagai langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai betapa seriusnya kes kemalangan jalan raya yang berlaku pada setiap hari.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!