‘Ada orang letak makanan dalam mulut saya’, Maryam kongsi cabaran berpuasa di Korea Selatan

MARYAM menceritakan pengalaman berpuasa ketika baru bergelar saudara baharu di Korea Selatan, lima tahun lalu.
MARYAM menceritakan pengalaman berpuasa ketika baru bergelar saudara baharu di Korea Selatan, lima tahun lalu.
A
A
A

“ADA orang sampai letak makanan tidak halal dalam mulut ketika saya puasa, tetapi saya tidak telan, terus buang (keluarkan dari mulut) saja.”

Demikian kongsi selebriti media sosial, Maryam You Narae atau lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi ketika menceritakan detik-detik awal beliau bergelar mualaf semasa di negara kelahirannya, Korea Selatan, lima tahun lalu.

Tatkala berhadapan dengan situasi itu, Maryam,32, tidak mudah melatah dan kelihatan tenang kerana sedar sememangnya perkara tersebut menjadi kebiasaan di sana.

Ditambah pula, kebanyakan mereka bukannya beragama Islam mahupun bergelar negara Muslim sebagaimana Malaysia, ungkapnya.

“Saya bekerja di hospital (pada masa itu). Mereka beri (makan) sebab sayang saya.

“Bila saya cakap tak boleh (suap makanan), mereka kurang faham. Akhirnya, saya beri isyarat tidak boleh makan dan terus buang. Bayangkan kalau saya tak cukup (kuat), pasti (makanan tadi) sudah saya telan,” selorohnya ketika ditemui selepas wawancara ekslusif bersama SinarPlus di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Situasi itu membuatkan Maryam yang juga bekas ahli fisioterapi tersebut berasa bangga dengan dirinya kerana mampu menahan godaan walaupun sudah ada makanan di dalam mulut.

“Jika di sini (Malaysia), semua tahu tentang Ramadan, puasa dan faham tentang Islam. Jadi tidak boleh bandinglah dengan negara lain.

Artikel Berkaitan:

MARYAM (kiri) bersama suaminya, Ryzal ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini. -Foto: Instagram Maryam Younarae
MARYAM (kiri) bersama suaminya, Ryzal ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini. -Foto: Instagram Maryam Younarae

“Sebenarnya, kalau hendak lagi seronok, cuba berpuasa di Korea yang mana semua orang makan, saya seorang saja tak makan, tapi anda akan dapat rasakan lebih ‘berkat’. Ramadan ini, cubalah ke Korea, Jepun atau negara bukan Islam, rasai pengalaman berpuasa di sana,” sarannya.

Dalam pada itu, wanita kelahiran Seoul, Korea Selatan yang baru sahaja pulang mengerjakan ibadah umrah bersama suaminya, Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, berhasrat untuk merasai pengalaman bertarawih di masjid.

Sejak bergelar saudara baharu pada 11 Julai 2019, Maryam tidak sempat berbuat demikian lantaran berlakunya wabak Covid-19, selain dirinya mengandung dan berpantang.

“Tahun ini, insya-ALLAH saya boleh bertarawih,” ungkapnya dalam nada teruja.

Maryam berkahwin dengan Nik Muhammad Rizal atau lebih dikenali sebagai Ryzal Ibrahim yang juga personaliti media sosial pada 15 Ogos 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nik You Rina berusia dua tahun.

Pasangan itu tinggal di Gyeonggi-do, Korea Selatan dan mula dikenali selepas muncul dalam YouTube Durian Kimchi, saluran media sosial mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!