Rasuah: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah
LABUAN - Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM2,000.
Koperal Sahbudin Burhanudin, 41, didakwa meminta RM500 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Orang Kena Pengawasan (OKP) di pusat bandar Labuan pada 2018.
Lans Koperal Muhamad Hazman Ramli dan Koperal Asrul Hisyam Ahmad pula didakwa menerima RM1,500 daripada seorang individu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan tidak memiliki lesen memandu serta dokumen perjalanan yang sah berhampiran bandar Labuan pada 2022.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Jason Juga membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan mereka melapor diri di pejabat SPRM berdekatan dua bulan sekali dan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.
Beliau menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!