50,000 penduduk Taman Medan ulangi sokong laksana PJD Link

Kenyataan Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan pada Isnin
Kenyataan Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan pada Isnin
A
A
A

PETALING JAYA - Hampir 50,000 penduduk Taman Medan di sini menyokong pelaksanaan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan dalam satu kenyataan berkata, projek itu penting dan bakal memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Projek PJD Link yang diuar-uarkan beberapa tahun lepas memberi harapan kepada penduduk Taman Medan, di mana projek ini dijangka dapat menyelesaikan isu kesesakan di Taman Medan dengan menyuraikan trafik, menaik taraf jalan raya serta infrastruktur di kawasan sekeliling.

“Penambahbaikan ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Taman Medan.

"Kami sedia maklum terdapat tentangan terhadap projek ini daripada pihak pihak tertentu yang juga ingin mengubah jajaran PJD Link," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan, sudah bertahun lamanya masalah kesesakan menjejaskan aktiviti harian mereka terutama perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.

"Kesesakan lalu lintas ini bertambah buruk disebabkan ramai pengguna menggunakan jalan tempatan dari Jalan Klang Lama menghala ke Puchong dan Lebuhraya Kesas," kata kenyataan itu lagi.

Kesesakan dikatakan berlaku di jalan menghala ke Petaling Jaya seperti Jalan Templer dan Jalan Gasing, selain pembangunan komersial dan kenderaan berat yang menyebabkan keadaan lebih buruk.

Artikel Berkaitan:

Gabungan itu berkata, projek terbabit perlu dikekalkan pada jajaran asal untuk memberi manfaat maksimum kepada penduduk atau kesesakan kekal berterusan jika jajaran dialihkan luar daripada kawasan Petaling Jaya.

“Dengan memudahkan pengangkutan dan kebolehcapaian yang lebih lancar, projek ini berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan kemakmuran Taman Medan.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek PJD Link,” katanya.

Pada 24 Februari Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari seperti dilaporkan media meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Besar, ini kerana selepas PRN Ogos 2023, kerajaan negeri menerima laporan penilaian impak sosial daripada PJD Link (M) Sdn Bhd yang mendedahkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!