Ambil iktibar isu stoking kalimah ALLAH
ISU stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di beberapa rangkaian sebuah kedai serbaneka semakin hangat diperdebatkan termasuk di media-media sosial.
Jelas, ini bukanlah satu isu remeh yang boleh diselesaikan hanya dengan satu permohonan maaf. Sebaliknya isu tersebut merobek hati umat Islam di negara ini, sekali gus perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan pihak berkuasa.
Sehingga semalam, polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, meletakkan kalimah suci pada stoking merupakan satu bentuk penghinaan, lebih-lebih lagi berlaku pada Ramadan, bulan yang mulia di sisi umat Islam.
Beliau berkata, isu itu juga tidak boleh dipandang remeh meskipun ada pihak yang menyatakan supaya tidak perlu terlalu sensitif dalam menanganinya.
KK Super Mart sudah melakukan permohonan maaf secara terbuka dan mengakui terkhilaf kerana terlepas pandang menjual produk berkenaan.
Pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai menjelaskan, penjualan stoking berjenama MiranoSock itu adalah produk konsainan oleh pihak vendor.
Walau apa pun penjelasan diberikan, KK Mart tetap perlu memikul tanggungjawab terhadap apa yang dijualnya.
Sungguhpun penjelasan dan satu laporan polis dibuat oleh KK Mart tetapi sukar untuk menyembuhkan luka yang tercalar dalam kalangan umat Islam terhadap isu berkenaan.
Justeru, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dengan membuat siasatan dan mengambil tindakan sepatutnya terhadap pihak yang terlibat dalam kesalahan ini.
Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dalam perkara yang jelas sudah melibatkan isu 3R iaitu mengganggu gugat agama (religion), raja (royal) dan kaum (race).
Jadikan kes ini sebagai iktibar kepada semua pihak termasuk para peniaga agar sentiasa mengambil sikap berhati-hati terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti ramai, tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun di negara ini.
Kita berharap agar isu seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang bagi menjamin keharmonian masyarakat di negara ini. bak kata pepatah, jangan dijolok sarang tebuan.
Kelak buruk padahnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!