'Good start', 'good position' hujung musim atau 'good bye'
“PEMILIHAN jurulatih untuk mengemudikan sesebuah pasukan itu sangat penting dalam kancah bola sepak Liga Super ini, apatah lagi untuk pasukan seperti Selangor”.
Itu reaksi penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika diminta mengulas keputusan naib juara Liga Super 2023, Selangor FC melantik Nidzam Jamil yang sebelum ini penolong jurulatih dinaikkan pangkat selaku pengendali Gergasi Merah untuk saingan 2024/25.
“Saya berpendapat kalau kita kata sesiapa sahaja boleh dicuba untuk jadi jurulatih kepada setiap pasukan dalam Liga Super Malaysia, itu suatu kenyataan yang kurang bijak dan belum benar-benar memahami ekosistem bola sepak negara.
“Kalau macam itu, JDT yang sudah 10 kali berturut-turut menang Liga Super dan bermain dalam Liga Juara-Juara Asia pun boleh tukar coach dengan lantik sebarang jurulatih atau jurulatih tempatan yang ada.
“Tambahan pula kita sudah mempunyai ramai jurulatih lesen pro dan tak kurang hebatnya. Mereka juga sering diundang memberikan analisis serta menjadi 'pundit' di televisyen. Tetapi persoalannya kenapa JDT tidak berminat untuk berbuat demikian walhal mereka memiliki pemain-pemain hebat dan sesiapa pun jurulatih bukan masalah kepada pasukan ini?,” katanya.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pemilihan Nidzam dibuat dengan mengambil kira pengalamannya selain bekas pengendali Felda United itu memahami dengan baik hala tuju pasukan tersebut.
Selangor FC juga mengharapkan Nidzam dapat menyerlahkan kepakarannya mengemudi Gergasi Merah sekali gus membawa pasukan berjaya dalam kancah domestik dan Asia.
Nidzam sebelum ini menggalas peranan sebagai penolong jurulatih Michael Feichtenbeiner (2022) dan Tan Cheng Hoe.
Dalam pada itu Pekan mengakui bahawa ekosistem bola sepak negara jarang berlaku adil kepada setiap jurulatih dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah tegasnya, penyokong-penyokong hanya memahami berkenaan ‘kemenangan demi kemenangan’ yang perlu diraih pasukan dalam setiap pertandingan.
“Tiada sebab untuk penyokong-penyokong untuk menerima 'kekalahan demi kekalahan' dengan alasan atau petunjuk prestasi utama (KPI) atau sasaran yang diberi kepada jurulatih baru ini bermula dengan 'eksperimen tahun ini, pemantapan tahun ke dua dan mencapai kejayaan pada tahun ke tiga nanti'.
“Ini bukan 'ekosistem' atau budaya 'Arsene Wenger' yang boleh diguna pakai dalam liga bola sepak kita. Tiada seorang pun jurulatih di Liga Super kita boleh merasa seronok untuk berbuat demikian, bersedialah untuk dipecat pada bila-bila masa.
“Justeru dalam soal perlantikan jurulatih Selangor yang baharu, mereka dah pilih Nidzam Jamil, saya percaya jurulatih itu tahu cabaran berat yang akan dihadapi dan tiada 'waktu berbulan madu' atau juga 'grace period' untuk tugasan ini.
“Tiada tolak ansur sebenarnya dalam hal ini, yang penting bagi Nidzam adalah, bermula dengan 'good start' dan berakhir dengan 'good position' pada akhir musim. Jika tidak 'good bye'. Itulah jawapan kepada nasib seseorang jurulatih dan tiada istilah 'anak negeri' untuk dikasihani nanti,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!