Ahli keluarga, masyarakat berperanan bantu pesakit mental
SHAH ALAM - Pendekatan holistik dan kolaboratif daripada ahli keluarga, masyarakat dan agensi keselamatan diperlukan bagi mengelak jenayah terhadap kanak-kanak berlaku.
Pengasas bersama Yayasan Chow Kit (YCK), Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, kombinasi beberapa pendekatan mampu membantu mengurangkan kes jenayah, sekali gus meningkatkan keselamatan golongan rentan dalam masyarakat.
Beliau berpandangan, tindakan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program keselamatan diperlukan selain memberi insentif kepada mereka yang memberi maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan.
“Pemantauan di media sosial juga perlu untuk mengesan sebarang isu atau ancaman keselamatan yang mungkin timbul dalam komuniti.
“Selain itu, tingkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah, termasuk rondaan polis yang lebih kerap di kawasan dikenal pasti selain mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Hartini turut mencadangkan supaya sokongan psikososial disediakan kepada keluarga mangsa yang terjejas dengan perbuatan itu.
Menurutnya, sokongan tersebut merangkumi kaunseling, emosi dan bantuan kewangan jika diperlukan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Noor Aziah Mohd Awal menegaskan, keluarga dan masyarakat terdekat perlu memainkan peranan dengan mengambil alih tanggungjawab menjaga anak-anak yang dijaga ibu atau bapa yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Ujarnya, tindakan itu mampu menyelamatkan anak terbabit daripada menjadi mangsa penderaan mental atau fizikal yang boleh mengakibatkan kematian.
“Jangan ambil ringan, sekiranya ahli keluarga maklum keadaan ibu atau bapa kepada anak-anak itu mempunyai masalah kesihatan mental, maka dia perlu diberi rawatan.
“Bukan tidak berhak untuk jaga anak- anak sendiri, tetapi mereka tidak boleh berada dalam keadaan tertekan hingga membahayakan diri sendiri dan orang sekeliling.
“Boleh juga cari saudara terdekat untuk tinggal bersama bagi membantu secara moral dan fizikal dalam menjalankan tugas sebagai ibu bapa,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!