LZS rai 500 pelajar MSU berbuka puasa
SHAH ALAM - Kira- kira 500 penuntut Management Science University (MSU) diraikan dalam program Iftar Untukmu Mahasiswa anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di MSU, Seksyen 13 di sini pada Isnin.
Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran LZS, Norazimah Mohd Rayes berkata, objektif utama program berkenaan adalah untuk LZS berkongsi rezeki selain mengalakkan mereka menyertai Komuniti Zakat Selangor.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama LZS berkolaborasi dengan universiti untuk berbuka puasa bersama pelajar.
“Kita faham ada juga di antara pelajar ini tidak berkemampuan dan ada asnaf fakir miskin yang dibantu LZS, jadi secara tidak langsung kita dapat menyantuni mereka untuk berbuka puasa bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai program tazkirah, kuiz dan mengagihkan pek berbuka puasa di MSU di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Divisyen Perhubungan Stakeholder dan Komunikasi Korporat, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim dan Presiden MSU, Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid.
Norazimah berkata, pek makanan dan kuih-muih tersebut disediakan oleh asnaf fakir miskin yang kemudiannya disumbangkan oleh LZS untuk majlis berbuka puasa berkenaan,
“LZS menyokong perniagaan asnaf fakir miskin yang berdaftar dengan kami, dengan cara ini perniagaan mereka dapat berkembang,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Komuniti Zakat Selangor yang diperkenalkan sejak tahun lalu, Norazimah menjelaskan tahun ini LZS mahu lebih ramai mahasiswa universiti terlibat dengan program sukarelawan berkenaan.
“Kita mahu mereka (mahasiswa) turun padang merasai kehidupan rakyat yang susah dan memerlukan bantuan.
“Dari situ mereka dapat belajar bagaimana untuk menyalurkan bantuan, sumbangan kepada mereka menerusi platform zakat,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan pelajar didapati menguasai media sosial dan ia adalah kaedah lebih cepat serta efisien untuk menyampaikan maklumat khususnya berkenaan peranan dan bantuan yang boleh diberikan serta sudah dilaksanakan oleh LZS.
“Kita mahu mereka menjadi mata dan telinga LZS, salurkan maklumat jika ada yang memerlukan atau yang terdesak demi meneruskan kelangsungan hidup, LZS akan bantu,” katanya.
Tambahnya, LZS juga berperanan untuk membantu mereka keluar daripada kemiskinan dengan berniaga, bekerja dan sebagainya.
“Bila mereka berjaya selepas dibantu, mereka juga akan menjadi penyumbang kepada golongan itu seperti yang berlaku sebelum ini.
"Kitaran itu membuktikan peranan LZS dalam mengubah kehidupan dan membantu golongan asnaf dan miskin tegar,” katanya.
Sementara itu, pihaknya juga menyeru orang ramai untuk menunaikan zakat lebih awal bagi mengelak daripada terlupa.
“Kena percaya dengan Lembaga Zakat Selangor yang mempunyai peranan besar membantu lapan asnaf selain fakir dan miskin termasuk peranannya untuk membangunkan generasi kedua golongan itu untuk berjaya,” katanya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!