RUU AUKU dibentang di Dewan Negara April ini

Pindaan AUKU menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terbabit dalam kegiatan kampus sejajar usaha memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa. Foto Bernama
Pindaan AUKU menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terbabit dalam kegiatan kampus sejajar usaha memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan, kelulusan itu untuk mengangkat martabat mahasiswa dan pelajar universiti awam selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa.

"KPT ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada 23 Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perbahasan, memberi idea dan pandangan," katanya pada Selasa.

Ujar kementerian itu, antara topik paling banyak disentuh dan dibangkitkan adalah mengenai jawatankuasa tatatertib pelajar, pengurusan kewangan persatuan, tempoh pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan lain-lain.

Jelas KPT, pindaan berkenaan adalah hasil daripada beberapa siri libat urus yang dilaksana KPT dengan kepimpinan pelajar Universiti Awam (UA) semenjak tahun 2021 sehingga kini.

"Ia merupakan antara langkah progresif yang dilaksanakan Kerajaan untuk membugar budaya berorganisasi dan menyegarkan gerakan pelajar sesuai dengan keupayaan mereka untuk mengurus kedewasaan dan kematangan diri.

"Terima kasih juga kepada seluruh Ahli Dewan yang sebulat suara menyokong pindaan RUU ini," katanya.

Pindaan AUKU menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terbabit dalam kegiatan kampus sejajar usaha memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

Pindaan mendapat undian sebulat suara Ahli Parlimen itu membabitkan enam peruntukkan iaitu Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

Seksyen 15A menyatakan kebenaran kepada MPP dan badan pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain.

Seksyen 16B pula menyatakan pertukaran pihak berkuasa tatatertib pelajar universiti, manakala Seksyen 48(4) Jadual Pertama menyebut tempoh lantikan MPP berdasarkan kalendar akademik.

Selain itu, peruntukkan di bawah Seksyen 48(11) Jadual Pertama membenarkan MPP menyelenggara kumpulan wang (akaun), Seksyen 48(12A) Jadual Pertama menyatakan kuasa kepada Lembaga untuk membuat peraturan berkaitan pemungutan wang di Seksyen 15A dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama menyebut mengenai pemakaian peruntukan-peruntukan Seksyen 48 MPP kepada badan pelajar lain.

AUKU telah dipinda sebanyak tujuh kali sejak ia diperkenalkan pada tahun 1971 iaitu 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009 dan 2012.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!