UniSZA kumpul dana RM216,000 sedia juadah berbuka percuma

Kumpulan sukarelawan pelajar ini mula memasak bermula jam 11 pagi pada setiap hari untuk menyediakan sebanyak 1,200 bungkusan juadah pada setiap hari.
Kumpulan sukarelawan pelajar ini mula memasak bermula jam 11 pagi pada setiap hari untuk menyediakan sebanyak 1,200 bungkusan juadah pada setiap hari.
A
A
A

KUALA NERUS - Warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengumpul dana sebanyak RM216,000 bagi melaksanakan program agihan juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang Ramadan ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, dana tersebut merupakan hasil sumbangan dalam kalangan kakitangan universiti dan orang ramai.

Menurutnya, hasil kutipan tersebut membolehkan sebanyak 1,200 bungkusan juadah berbuka puasa disediakan oleh lebih 50 sukarelawan pelajar secara bergotong-royong.

"Kita mengambil pendekatan melaksanakan aktiviti memasak secara bergotong-royong bagi menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma buat pelajar, staf dan juga komuniti luar.

"Selain mengimarahkan Ramadan, ia juga dapat mengukuhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program ini secara konsisten," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Beliau berkata, selain diagihkan kepada warga universiti, juadah makanan secara percuma itu akan turut dinikmati oleh komuniti luar yang tinggal di sekitar kampus sekali gus dapat membantu meringankan kos perbelanjaan harian.

Sebahagian sukarelawan pelajar UniSZA menyediakan bahan untuk proses memasak hidangan berbuka puasa.
Sebahagian sukarelawan pelajar UniSZA menyediakan bahan untuk proses memasak hidangan berbuka puasa.

"Setiap hari, sukarelawan ini akan menyediakan sebanyak 1,200 pek juadah dengan setiap satunya bernilai RM7 dan kos harian sebanyak RM7,200.

Artikel Berkaitan:

"Bungkusan juadah berbuka ini akan diagihkan kepada pelajar di Kampus Gong Badak, Kampus Besut, Kampus Perubatan, petugas keselamatan, pelajar tadarus, petugas Hospital Pengajar UniSZA dan komuniti di sekitar kampus," ujarnya.

Beliau memberitahu, kumpulan sukarelawan tersebut akan bergotong-royong memasak juadah seawal jam 11 pagi pada setiap hari sepanjang Ramadan.

"Para sukarelawan akan melakukan proses penyediaan bahan mentah dan ramuan terlebih dahulu sebelum sama-sama memasak makanan tersebut.

"Selepas semuanya selesai dibungkus, kumpulan ini akan melakukan agihan secara percuma kepada warga universiti dan komuniti setempat," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!