Pemborong jual ayam lebih mahal didenda RM10,000

Sharuddin berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas membayar denda atas kesalahan menjual ayam standard melebihi harga kawalan, tahun lalu.
Sharuddin berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas membayar denda atas kesalahan menjual ayam standard melebihi harga kawalan, tahun lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pemborong didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Selasa selepas mengaku bersalah menjual ayam standard melebihi harga kawalan, tahun lalu.

Orang kena saman (OKS), Sharuddin Saidon, 54, juga berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas lelaki itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, Sharuddin didakwa menjual barangan harga terkawal iaitu ayam standard dengan harga RM8.90 sekilogram melebihi harga borong maksimum yang ditetapkan oleh Pengawal iaitu RM8.10 sekilogram seperti di bawah Perenggan 3 Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 12) 2022.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Besar, Padang Rengas antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi pada 14 Oktober 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (b) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Sharuddin yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda minimum atas alasan perlu menanggung keluarga dan bercadang untuk membayar bonus kepada lima pekerjanya yang merupakan warga tempatan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil bagaimanapun memohon hukuman denda maksimum berikutan tindakan OKS menaikkan harga sebanyak 80 sen akan memberi bebanan kepada peruncit dan orang awam selain menjadikan kes ini sebagai satu peringatan kepada pemborong lain.

Artikel Berkaitan:

OKS kemudian membayar denda berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!