Mindef muktamadkan perolehan tiga LMS tahun ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan replika cek Peruntukan Senggaraan 2024 kepada Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub (dua, kanan) pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Johor Bahru hari ini. Foto Bernama

A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang memuktamadkan perolehan Kumpulan Dua Kapal Pesisir Pantai (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melibatkan tiga kapal pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya juga sedang memastikan pembinaan lima kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang saiznya kecil berbanding kapal LCS dan digunakan untuk operasi yang berbeza berjalan lancar.

"Ketika ini, kita sedang memuktamadkan perolehan untuk tiga kapal LMS Kumpulan Kedua. Di peringkat kementerian, kita terus memberi fokus kepada pembinaan LCS yang telah menjadi perhatian ramai pihak, ia sepatutnya dah lama siap tetapi belum lagi.

"Tetapi kali ini kita yakin ia akan dapat disiapkan menjelang November tahun ini untuk menjalani 'Harbour Acceptance Test' dan 'Sea Acceptance Trial' selama dua tahun bagi menguji ketahanan dan kemampuan kapal tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Berbuka Puasa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Bersama Warga TLDM di Pangkalan TLDM Johor Bahru, Permas Jaya di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalannya, Adly Zahari; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin dan Panglima Pasukan Simpanan TLDM, Laksamana Pertama Azeman Yusoff.

Sementara itu, Mohamed Khaled memaklumkan, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kerajaan terbaik dalam aspek penjagaan kebajikan dan kesejahteraan pegawai dan anggota tentera negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diringi Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub (dua, kiri) beramah mesra dan menyerahkan sumbangan kebajikan kepada anggota-anggota TLDM yang mengidap pelbagai penyakit pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Johor Bahru hari ini. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini, kerajaan memperuntukkan bajet penyelenggaraan sebanyak RM400 juta, terbesar jika dibandingkan dengan peruntukan sebelum ini. Kebiasaannya peruntukan diberi sekitar RM100 juta.

"Kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan anggota tentera termasuk TLDM. Penyelenggaraan untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) TLDM menerima peruntukan berjumlah RM69 juta," katanya.

Tambah Mohamed Khaled, ini merupakan cerminan kepada kerajaan semasa yang komited dalam memberikan perhatian kepada kebajikan bukan sahaja anggota, tetapi juga ahli keluarga mereka.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan masih dalam proses mencari pengganti yang sesuai untuk jawatan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) susulan peletakan jawatan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan pengunduran Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.

Tambah beliau, Mindef tiada niat melengahkan tempoh pelantikan tersebut sebaliknya sedang melihat calon yang sesuai mengisi jawatan berkenaan.

"Bila kita ada calon sesuai mengisi jawatan berkenaan akan diumumkan," ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan LTAT mengumumkan peletakan jawatan serta-merta Ahmad Nazim, hanya lebih sebulan selepas laporan penstrukturan semula yang dirancang telah ditangguhkan berikutan pertukaran tampuk pimpinan Kementerian Pertahanan.

Sementara pada 9 Februari lalu pula Mohamed Affandi meletakkan jawatan selepas dilantik menjadi Pengerusi LTAT pada 3 Ogos 2021, menggantikan Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!