Tiada kompromi majikan langgar hak pekerja termasuk parti politik
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan, termasuk parti politik jika berlaku perlanggaran hak pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pendirian kerajaan tetap dan tegas bahawa pekerja berhak ke atas gaji mereka dan ia bukanlah satu perkara yang boleh dipermainkan.
“Kita tidak akan kompromi di bawah siapa sama ada swasta, kerajaan, parti politik, bukan parti politik. Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) akan ambil tindakan jika hak pekerja tidak dibela.
“Negara kita ada raja dan undang-undang, tak kira siapapun baik swasta, syarikat kerajaan di negeri Kedah, Pulau Pinang atau parti politik, semua kena ikut undang-undang. Kalau tak salah, jangan khuatir, kita akan bantu,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) semasa sesi Pertanyaan Menteri-menteri tentang satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang tular, berkait satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI.
Tambah Steven, mana-mana pekerja yang terlibat dengan tunggakan gaji oleh majikan, boleh hadir ke Pejabat Tenaga Kerja (PTK) di cawangan berdekatan bagi mendapatkan khidmat nasihat.
Selain itu katanya, pekerja juga dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh di PTK cawangan berkaitan bagi menuntut bayaran gaji yang tidak diterima.
“Kes buruh yang difailkan di PTK cawangan akan dikendalikan melalui mahkamah buruh bagi menyelesaikan tuntutan kewangan oleh pekerja terhadap majikan, sebagaimana dalam peruntukan di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955.
“Pendirian kita adalah tegas dan tetap, iaitu pekerja berhak terhadap gaji. Justeru, Kesuma akan menguatkuasakan akta ini dengan sepenuhnya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!