Majlis Profesion Kerja Sosial dicadang dimasukkan dalam RUU
KUALA LUMPUR - Penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial (MPKS) yang berperanan mengiktiraf, mendaftar dan mengawal selia amalan kerja sosial di negara ini dicadangkan untuk dimasukkan dalam penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MPKS akan bertindak sebagai medium untuk membincangkan cadangan penambahbaikan latihan dan program pembangunan profesional berterusan bukan hanya dalam kalangan penjawat awam, tetapi juga kepada mereka yang terlibat dalam kerja sosial di sektor swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Ini akan membantu melancarkan jaringan kerjasama dalam penyampaian perkhidmatan yang profesional, perkongsian amalan terbaik dan menyokong profesion menerusi rangkaian badan profesion lain termasuklah di peringkat antarabangsa,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu langkah kementerian bagi memastikan kesejahteraan pekerja sosial di negara ini dan status proses konsultasi terhadap RUU PKS terkini.
Selain itu, Nancy berkata, RUU PKS juga akan memperuntukkan penubuhan jawatankuasa siasatan yang akan membolehkan siasatan terperinci dijalankan ke atas setiap aduan diterima.
Beliau berkata, fasal tersebut sekali gus akan memberikan perlindungan bukan hanya kepada individu iaitu klien malah kepada pekerja sosial bagi memastikan mereka turut dilindungi daripada tuduhan tidak munasabah atau fitnah semasa menjalankan tugasan.
Menjawab status proses konsultasi terhadap RUU PKS terkini, Nancy berkata, hasil dapatan pelbagai sesi libat urus berterusan, draf RUU tersebut memerlukan beberapa penelitian khusus termasuk melibatkan ketetapan dasar bagi memastikan kesediaan pemakaian RUU itu setelah diluluskan kelak.
"Di samping itu, penambahbaikan lain yang diterokai terhadap draf RUU ini adalah untuk memasukkan peruntukan am yang menjelaskan fungsi dan peranan pekerja sosial serta praktis kerja sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy turut mengucapkan selamat Hari Pekerja Sosial Sedunia yang disambut hari ini khususnya buat warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja sosial di seluruh negara.
"Curahan bakti anda semua dalam membantu membentuk kesejahteraan kita rakyat Malaysia amat dihargai,” katanya.
Hari Pekerja Sosial Sedunia disambut pada setiap Selasa minggu ketiga Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!