Pelita raya kembali warnai kemeriahan Ramadan, Aidilfitri di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Acara tahunan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu iaitu Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI) 2024 kembali mewarnai kemeriahan bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, pelaksanaan program selama lima hari bermula 18 hingga 23 Mac itu dijangka akan menarik lebih 40,000 pengunjung.
Menurutnya, program tradisi yang sebelum ini diadakan di Kampung Budaya di Muzium Negeri Terengganu akan beralih ke lokasi baharu di Taman Tamadun Islam (TTI).
"Kita percaya peningkatan jumlah pengunjung akan dicapai berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung pada program sama tahun lalu yang berjaya mencatatkan kehadiran 30,400 orang.
"Setiap tahun berlaku peningkatan pengunjung ke program ini dengan rekod seramai 18,824 orang pada 2022 dan 5,876 pengunjung pada tahun 2021,"katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi program di sini malam Isnin.
Ahmad Ridzwan berkata, program bertemakan Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter itu mendapat 10 penyertaan daripada pejabat daerah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu
Katanya, antara syarat utama dalam pertandingan kali ini ialah peserta perlu menggunakan lebih 150 pelita sumbu, menggunakan barangan terpakai seperti tempurung, tin minuman, buluh dan botol.
Selain itu, beliau berkata, para peserta perlu menampilkan keunikan pakaian atau busana bertema, rekaan replika dan dekorasi bergantung kepada kreativiti masing-masing berdasarkan produk daerah yang ingin diperkenalkan.
Ujarnya, pengunjung juga boleh menyertai pertandingan Fotografi dan Pertandingan Video Tik Tok Peliter@TTI 2024 untuk memeriahkan lagi program tersebut.
"Bagi pertandingan pelita, wang tunai sebanyak RM11,500 secara keseluruhan ditawarkan kepada peserta sementara pertandingan di media sosial pula menyediakan sebanyak RM2,500 untuk dua kategori iaitu di Facebook (Pertandingan Fotografi) dan video Tik Tok," tambah beliau.
Program Pelita Raya Terengganu (Peliter @TTI) hanya mengenakan bayaran masuk RM1 bagi dewasa (13 tahun ke atas) manakala bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak 12 tahun ke bawah adalah percuma.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!