RUU Keselamatan Dalam Talian dijangka akan dibentang di Parlimen
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, Kabinet telah memutuskan supaya Akta Keselamatan Dalam Talian diwujudkan dan Kementerian Komunikasi serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarah mengkaji keperluan akta itu.
Beliau berkata, jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang baharu itu telah ditubuhkan dan sesi perbincangan juga sedang dilaksanakan.
"Ada kemungkinan RUU ini boleh dibawa pada Parlimen, diluluskan pada sidang (Parlimen) akan datang...ini sedang diusahakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan berhasrat menggubal akta mengenai keselamatan dalam talian selain menjadikan aduan atau laporan orang awam di media sosial sebagai laporan maklumat pertama (FIR) untuk tindakan lanjut.
Menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada kementerian memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Teo berkata perkara itu sedang diperhalusi dan MCMC dalam proses melengkapkan kerangka pelesenan tersebut.
Beliau berkata, cadangan penguatkuasaan pelesenan itu disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet (Internet messaging services) yang boleh diakses oleh pengguna mengikut kriteria penilaian yang akan ditetapkan.
Katanya, langkah itu wajar memandangkan ketersediaan kandungan mudarat yang tinggi di platform media sosial dan pemesejan Internet.
"Langkah cadangan kawal selia ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam talian serta menangani kandungan yang bertentangan dengan perundangan negara, seiring dengan pendekatan dan perkembangan global semasa dan bukannya bertujuan untuk menyekat kebebasan media,” katanya.
Menurut Nie Ching, pelaksanaan pendaftaran itu dijangka meningkatkan tahap perlindungan pengguna selain memastikan pengguna juga dapat menikmati perkhidmatan tersebut dalam ruang lingkup yang selamat dan boleh dipercayai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!