Polis rampas lima pasang stoking kalimah ALLAH
BATU PAHAT – Polis merampas lima pasang stoking mempunyai kalimah ALLAH dipercayai dipulangkan oleh rangkaian kedai serbaneka ketika melakukan pemeriksaan menyeluruh di sebuah kilang di sini, pada pagi Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, kilang berkenaan dipercayai menjadi tempat bagi urusan pembungkusan dan pengedaran stoking berkenaan ke rangkaian kedai serbaneka beralamat di Cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.
“Sekitar jam 9 pagi Selasa, saya bersama pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Batu Pahat bersama 40 anggota telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas kilang tersebut.
“Siasatan awal mendapati pihak kilang telah mengimport sebanyak 16 bundle (bekas) yang berisi 18,800 pasang stoking.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan satu persatu stoking tersebut tiada lagi stoking yang bertulis kalimah ‘ALLAH’ ditemui kecuali yang telah dirampas sebelum ini” katanya pada Selasa.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1988 dan Seksyen 505 b Kanun Keseksaan.
Siasatan selari juga dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman.
Sementara itu, Ismail turut memohon agar mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan supaya tidak mengambil langkah yang menyalahi undang-undang termasuk melakukan flash mob, perhimpunan atau pun demonstrasi berkaitan isu ini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!