[VIDEO] 23 nelayan Vietnam ceroboh perairan Tok Bali ditahan

A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan 23 nelayan asing warga Vietnam bersama dua bot dan rampasan bernilai hampir RM3 juta pada kedudukan 160 hingga 162 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini pada Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kesemua tangkapan berusia 16 hingga 55 tahun itu dilakukan oleh kapal milik agensi yang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam pada Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Kata beliau, proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 35 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada jam 11 malam Ahad untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Erwan Shah (tengah) melihat nelayan-nelayan asing yang ditahan di perairan Tok Bali.
Erwan Shah (tengah) melihat nelayan-nelayan asing yang ditahan di perairan Tok Bali.

“Sebelum itu, bot-bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 11 pagi dan bot pertama berjaya ditahan jam 11.28 pagi.

“Penahanan diikuti bot kedua pada jam 12.14 tengah hari,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan, di sini pada Selasa.

Beliau memaklumkan, kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot.

Artikel Berkaitan:

Erwan Shah (dua dari kiri) dan anggota menunjukkan hasil tangkapan ikan yang dirampas pihaknya.
Erwan Shah (dua dari kiri) dan anggota menunjukkan hasil tangkapan ikan yang dirampas pihaknya.

Melihat keadaan yang berlarutan, kapal Maritim Malaysia bertindak memintas bot dan melakukan ‘force boarding’ untuk menghentikan bot-bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dan kedua masing-masing mempunyai 18 dan lima kru termasuk dua tekong yang berusia 36 serta 40 tahun.

“Bot yang digunakan mereka ialah jenis KG iaitu yang terbesar bagi nelayan asing Vietnam dan dapat memuatkan 10 hingga 20 tan tangkapan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas tangkapan kira-kira 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,500 liter dengan anggaran keseluruhan hampir RM3 juta.

“Kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Bot nelayan asing yang dirampas pihak Maritim Malaysia Negeri Kelantan.
Bot nelayan asing yang dirampas pihak Maritim Malaysia Negeri Kelantan.

Tambah Erwan Shah, dua tekong pula percayai melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Kesemua kru juga akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!