Beri kebenaran pakai baju sukan ke sekolah
PUTRAJAYA - Semua institusi pendidikan disaran untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pertimbangan itu berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
"Kementerian prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan semasa menghadapi cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca di luar jangka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM juga diminta untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
"Semua institusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam," ujar KPM.
Murid juga digalakkan mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
"Sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain, institusi perlu membekalkan air minuman kepada murid asrama," jelas kementerian itu.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca panas ketika ini kekal sehingga pertengahan April berikutan kurangnya awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata dalam tempoh ekuinoks yang bermula Rabu menyaksikan jangka masa siang dan malam adalah sama, matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa dalam proses pergerakan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!