'Segera ambil tindakan terhadap dalang stoking kalimah ALLAH'

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap dalang di sebalik isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, pihak terlibat di sebalik kejadian itu perlu diambil tindakan dan dikenakan hukuman kerana perbuatan tersebut jelas satu penghinaan kepada umat dan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

"Isu itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini dan laporan polis juga telah digerakkan Pemuda UMNO dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Kita bimbang kerana isu ini sudah mula membawa kepada bibit-bibit perbalahan antara kaum," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, adalah wajar isu itu diselesaikan segera sebelum ianya melarat menjadi sesuatu yang lebih buruk.

"Saya mengharapkan seluruh rakyat negara ini agar sentiasa menjaga sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat terus dikekalkan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!