Pahang peruntuk RM24,500 selesai masalah kerusi uzur di HTAA
KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan RM24,500 bagi menyelesaikan masalah kerosakan kerusi di ruang menunggu Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, peruntukan itu digunakan untuk pembelian 35 set kerusi yang panjang bagi menggantikan kerusi uzur, berlubang dan terkoyak.
Menurutnya, penghantaran kerusi akan dilakukan secepat mungkin oleh pembekal ke HTAA akan dilakukan secepat mungkin.
"Kita bersetuju meluluskan peruntukan segera bagi menggantikan kerusi-kerusi uzur. Kita khuatir kalau menunggu bajet daripada kementerian akan melalui proses yang lambat, jadi kita usahakan bantu.
“Saya dimaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri pada Ahad bahawa kemungkinan hari ini (Selasa) pembekal akan hantar kerusi tersebut,” katanya pada Selasa.
Terdahulu, tular sebuah video menerusi Tik Tok keadaan kerusi panjang di ruang menunggu dekat Jabatan Kecemasan HTAA kelihatan terlalu uzur sehingga mengundang ketidakselesaan dalam kalangan pengunjung.
Video tersebut yang dimuat naik pengguna @Jaarossi berdurasi 28 saat itu telah meninggalkan pelbagai reaksi netizen.
Perakam turut meluahkan rasa kecewa dengan keadaan kerusi berkenaan yang berbunyi akibat uzur.
Susulan itu,Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang telah membuat lawatan ke HTAA bagi mengetahui situasi sebenar berhubung dakwaan tersebut.
Mengulas lanjut, Razali memberitahu pihak HTAA akan memohon penggantian baki kerusi yang lain menerusi peruntukkan daripada Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Pahang akan memantau keadaan aset itu secara menyeluruh di seluruh negeri ini dari semasa ke semasa.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!