PRK Cameron Highlands: BN beri bayangan calon
KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan calon yang akan ditempatkan merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands datangnya daripada Umno atau calon ‘payung terjun’ pilihan mereka.
Beliau menyatakan, calon yang dipilih sebulat suara daripada setiap sayap BN itu diyakini lebih kuat berbanding parti dan berpotensi memacu BN ke tahap yang boleh dibanggakan.
“Calon yang mewakili BN pada PRK Cameron Highlands nanti, seseorang yang boleh menguatkan parti dan memberi kemenangan.
“Perlu diingat, keadaan sudah berubah... dulu parti yang membawa calon sebab nama parti ada, letak siapa pun boleh menang.
“Tapi sekarang, parti dalam keadaan tidak berapa baik, sebab itu untuk PRK Cameron Highlands kita pilih calon yang dipercayai boleh memandu parti. Dulu parti dapat kelebihan sekarang parti dapat kelebihan daripada calon yang sesuai untuk ditempatkan di situ,” katanya dalam sidang media di Menara Datuk Onn, di sini, lewat malam tadi.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan calon yang akan diumumkan hari ini telah mendapat restu semua komponen BN.
“Sebab itu saya katakan, calon BN tersebut telah mendapat mandat Umno, MCA dan MIC sudah bersetuju.
“Umno perlu bawa ke Mesyuarat Tertinggi (MT) untuk dapatkan persetujuan mengenai calon ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, PRK Parlimen Cameron Highlands amat penting kepada BN, kerana ia adalah penanda aras untuk mengukur sejauh mana keberkesanan BN di hati rakyat.
“Kerusi ini kita perlu pertahankan, sebab itu kita pilih calon yang mampu menguatkan parti dan memberi kemenangan kepada BN,” tegasnya.
Setakat ini, tiga calon daripada PH, MyPPP dan BN menyatakan kesediaan untuk merebut kerusi Parlimen tersebut.
Khabar angin yang bertiup mungkin BN bakal menamakan, Ramli Mohd Noor yang juga bekas pegawai polis etnik Orang Asli yang mungkin akan dipertaruhkan untuk menawan kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya kecil 26 Januari nanti.
Ramli yang juga penolong pesuruhjaya polis itu adalah penduduk tempatan dari suku Semai, yang membentuk sebahagian besar daripada 22 peratus pengundi Orang Asli di kerusi Parlimen itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!