Pelajar tingkatan empat maut nahas langgar lari

Motosikal ditunggang mangsa yang hancur dilanggar lori. Gambar kanan: Muhammad Hafiz Hakimie Rozari, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Motosikal ditunggang mangsa yang hancur dilanggar lori. Gambar kanan: Muhammad Hafiz Hakimie Rozari, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut dalam kejadian langgar lari di kilometer 14.8 Lebuhraya Baru Perol, Ketereh - Pasir Hor awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku pada jam 5.50 pagi menyebabkan mangsa, Muhammad Hafiz Hakimie Rozari, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125 dan beralamat di Kampug Melor Lama, Melor dipercayai dilanggar sebuah lori.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dari arah Ketereh menghala ke Pasir Hor.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal mangsa dikatakan dilanggar dari belakang oleh sebuah lori jenis Hicom.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang didakwa gagal memberi perhatian ketika memandu.

Katanya, nombor pendaftaran lori berkenaan CCT 9984 diperoleh melalui kepingan di tempat kejadian dan usaha menjejaki pemandu giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat dihantar ke HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) Kubang Kerian untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!