Pendaki tetap hadir kelas online ketika di Banjaran Himalaya
SHAH ALAM - Walaupun sedang menjalani latihan mendaki dalam cuaca sejuk pada bulan puasa di Banjaran Himalaya, pendaki solo, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor, 19, tetap mengikuti pembelanjaran kelas secara online mulai hari ini.
Pelajar Diploma Pengurusan Sukan Dan Rekreasi, FSR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu kini sedang membuat latihan mendaki sebagai persediaan Misi Everest 2025.
Beliau gigih bertindak demikian kerana tidak mahu ketinggalan pelajaran dan enggan meletakkan latihan mendaki tersebut sebagai alasan untuk meninggalkan kelas.
Pagi ini, Muhammad Syahrulnizam telah mengikuti kelas pengajian secara online sebelum bergerak meninggalkan Thorong La Phedi untuk turun ke Yak Kharka di paras ketinggian 4,040 meter yang mengambil masa perjalanan sehingga enam jam.
Cuaca yang terlalu sejuk melebihi -20 darjah selsius dan bersalji tebal di sekitar Thorong La Phedi setinggi 4,450 meter menyebabkan trek pendakian ke Thorong La Pass tertimbus salji membuatkan ramai pendaki lain berpatah balik kerana merbahaya.
Beliau sedang menjalani latihan bagi penyesuaian diri di gunung salji di Nepal pada 10 hingga 25 Mac ini.
Misi Everest 2025 itu dianjurkan oleh Jejak Pensolo dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, FSR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Pertubuhan Nadi Sihat dan Diem Duroil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!