Peniaga kecewa bazar Ramadan ditutup

Suasana bazar Ramadan Kampung Sungai Buaya. (Gambar kecil: Mohd Azlan)
Suasana bazar Ramadan Kampung Sungai Buaya. (Gambar kecil: Mohd Azlan)
A
A
A

HULU SELANGOR - Hampir 20 peniaga bazar di Kampung Sungai Buaya di sini memasang kain rentang sebagai tanda protes dengan arahan penutupan operasi oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Buaya, Mohd Azlan Mohd Ishak berkata, peniaga hanya sempat berniaga seminggu Ramadan sebelum MPHS memasang pita kuning pada Isnin menghalang bazar tersebut terus beroperasi.

Menurutnya, peniaga tidak berani meneruskan perniagaan pada Selasa susulan khuatir tindakan lebih tegas akan diambil termasuk sitaan barangan niaga.

"Kami telah terima notis pada hari pertama Ramadan disusuli notis kedua sehari berikutnya sebelum tindakan pemasangan pita kuning pada Isnin.

"Peniaga kesal dengan tindakan tegas dilakukan susulan operasi bazar ini merupakan inisiatif JPKK untuk membantu peniaga tepi jalan, himpunkan mereka di satu tempat untuk mudahkan penduduk membeli juadah berbuka puasa.

"Semasa berniaga di tepi jalan tiada tindakan penguatkuasaan diambil tetapi apabila ditempatkan di satu lokasi seperti ini diambil tindakan pula," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, ini merupakan kali pertama bazar tersebut beroperasi sebagai memberikan kemudahan kepada peniaga terdiri orang kampung berniaga bagi menambah pendapatan untuk persiapan Aidilfitri.

"Ada permintaan dalam kalangan peniaga juga penduduk yang mengusulkan operasi bazar berkenaan. Kami kemudian bersihkan tanah lapang berhampiran dewan JPKK untuk bantu mereka berniaga.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini tidak bermatlamat mengaut keuntungan sebaliknya hanya mengutip RM30 kepada setiap peniaga untuk tujuan pengurusan sampah," katanya.

Katanya, peniaga berharap pintu rundingan dibuka dan budi bicara daripada MPHS untuk membenarkan mereka kekal berniaga di lokasi asal sehingga hujung Ramadan.

"Kami dimaklumkan MPHS mahu menempatkan kami ke bazar sedia ada dan kami bantah idea tersebut kerana faktor kos sewa mencecah RM700 dan jaraknya yang jauh sedangkan ada antara peniaga tiada pengangkutan untuk ke sana.

"Cadangan itu juga tidak selari dengan matlamat kami untuk bantu anak kampung berniaga menambah pendapatan selain memberi perkhidmatan kepada penduduk kampung tanpa perlu pergi ke bazar lebih jauh," katanya.

Sementara itu, MPHS ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat selepas siasatan di lapangan dijalankan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!