Polis lengkapkan siasatan kes Siti Dhia Batrisyia
KUALA LUMPUR - Polis telah melengkapkan siasatan membabitkan kanak-kanak perempuan, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang dilaporkan hilang pada 12 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya juga sudah menerima laporan hasil pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu.
"Hasil laporan pemeriksaan yang diterima mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Noor Dellhan berkata, susulan itu, polis sudah melengkapkan kertas inkuiri orang hilang dan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Pihak IPK Kuala Lumpur sudah memberi arahan tindakan kemas untuk simpan (KUS) berdasarkan hasil siasatan yang dibuat," katanya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat dan merayau bersendirian oleh orang awam di Taman Sri Rampai jam 2.20 pagi.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Siti Dhia Batrisyia yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng di sini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!