Anak terdampar 18 tahun ke atas berpeluang jadi warganegara
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Anak terdampar berusia 18 tahun ke atas masih berpeluang untuk menjadi warganegara setelah pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dimuktamadkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan boleh dilakukan menerusi pendaftaran mengikut Perkara 19(b).
"Yang kita nak sebut, adakah kerajaan tutup pintu? Tidak.
"Kerajaan akan memproses secara pendaftaran," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Selasa.
Menurutnya, bagi anak terdampar yang meningkat usia seperti berumur lima hingga 10 tahun, Perkara 15(a) adalah laluan untuk mereka mendapatkan taraf kewarganegaraan.
"Perkara 15(a) ini adalah permohonan secara pendaftaran dalam kategori anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak di bawah jagaan.
"Apabila umur mereka meningkat, Perkara 15(a) inilah jalannya," jelas beliau.
Terdahulu, Saifuddin berkata, sebanyak 80 peratus daripada 3,903 daripada permohonan kewarganegaraan secara pendaftaran telah diluluskan setakat 7 Mac.
Ujar beliau, selebihnya ditolak KDN disebabkan mengemukakan permohonan tidak lengkap, menggunakan dokumen palsu selain tidak melepasi tapisan keselamatan.
"Permohonan yang ditolak boleh dikemukakan semula dengan lengkap selain perlu memastikan anak itu berada di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau sedia bersemuka dengan mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam dalam mencari kata sepakat berhubung pindaan berkenaan.
"Saya tiada masalah (berdepan) dengan semangat bahawa saya mendengar mereka dan mereka mendengar daripada saya.
"Saya masih melakukan libat urus dengan pihak berkaitan, jadi selesai sesi ini, ia akan dibahaskan pula di Parlimen," katanya.
Pada 8 Mac lalu, Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!