DBKL tidak lantik persatuan kutip bayaran penjaja
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tidak memberikan sebarang kebenaran kepada Persatuan Kebajikan Usahawan OUG atau mana-mana wakil untuk mengutip bayaran kepada penjaja di Pasar Pagi Taman OUG, Seputeh.
DBKL berkata, pihaknya pada 14 Mac lalu telah menerima aduan berhubung persatuan berkenaan telah membuat kutipan secara tidak sah kepada penjaja.
Menurut DBKL, tiada sebarang kebenaran dikeluarkan bagi tujuan kutipan termasuk bayaran untuk pembersihan pasar.
"DBKL telah menyelaras maklumat berkaitan jadual dan pelaksanaan pengurusan kutipan sampah di Pasar Pagi Taman OUG, Seputeh bersama pihak persatuan dan Alam Flora Sdn Bhd (AFSB)," katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya telah melantik Persatuan Kebajikan Usahawan OUG untuk menguruskan pasar pagi tersebut.
Ujarnya, pelantikan persatuan adalah hasil sesi pengundian yang telah diadakan pada penghujung Ogos 2023.
"Pemilihan tersebut bagi jawatan pengerusi penganjur dan barisan jawatan kuasa penganjur yang akan bertindak sebagai wakil pengurusan serta penjaja di pasar tersebut.
"Tanggungjawab persatuan yang dilantik adalah untuk menyelaras dan menguruskan aktiviti penjajaan di Pasar Pagi Taman OUG," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!