Penduduk jumpa mayat terapung

Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas membantu membawa mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis. - Foto ihsan bomba
Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas membantu membawa mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KUANTAN - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui terapung di dalam sebuah lombong di Kampung Chendering di sini kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang awam kira-kira 10 meter dari tebing.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, mayat berkenaan dibawa ke tebing dengan bantuan anggota bomba.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh mayat mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah ditemui.

"Berdasarkan keterangan saksi, sepasang selipar dipercayai milik si mati ditemui kira-kira 14 meter dari tebing.

"Mangsa tidak dikenali penduduk setempat dipercayai bukan penduduk di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat pengecaman mayat bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!