Sanusi diberi ruang fokus pembangunan The Greater Kedah

Saifuddin Nasution (kiri) dan Sanusi.
Saifuddin Nasution (kiri) dan Sanusi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diberi ruang seluas-luasnya untuk memfokuskan terhadap pembangunan The Greater Kedah meskipun Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) tidak diadakan.

Pengerusi MTPN Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak mahu mengganggu tumpuan Sanusi.

"Kalau pun tidak ada satu pun mesyuarat MTPN kerana saya percaya fokus Sanusi pada Greater Kedah... Saya tidak mahu ganggu dia dan biar dia bangunkan Lapangan Terbang Kulim, lengkapkan dulu tambun tanah projek 'reclaim' dekat Sungai Petani berjumlah RM40 bilion.

"Beri saya jaga projek kecil, jadi biar dia jaga projek bilion-bilion,” katanya dalam nada sinis pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Menurutnya, ruang turut diberikan kepada Sanusi untuk menyiapkan projek litar lumba di Sungai Petani.

“Kemudian dia nak buat jambatan darat, saya mahu dia tumpukan kepada Greater Kedah, saya biar jaga isu kecil-kecil di Kedah.

"Dengan cara ini saya menghormati tugas Sanusi sebagai Menteri Besar untuk membangunkan.

"Biar saya selesai loji-loji rawatan air sebab di Kedah saya dapat maklum balas air terputus," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, sebanyak lima loji rawatan air di bawah projek Kerajaan Persekutuan di negeri itu.

"Masalah tanah telah diselesaikan, jadi ada projek baharu dan sambungan membabitkan RM1.8 bilion.

"Melihat kepada kekerapan saya turun, boleh jamin projek itu lebih kemas," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada akan memanggil mesyuarat MTPN selepas selepas Sanusi menyifatkan alasan Saifuddin tidak mengadakan mesyuarat kerana bimbang kebocoran maklumat rahsia sebagai 'mengada-ngada'.

Terdahulu, Sanusi dilapor kesal dengan tindakan Saifuddin yang tidak memanggil mesyuarat lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri sejak majlis tersebut ditubuhkan

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!