CAAM gantung operasi empat model pesawat Blackshape berkuat kuasa esok

Beberapa serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel berjaya dikeluarkan oleh anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU) susulan kejadian pesawat berkenaan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang pada Februari lalu. Foto fail Bernama
Beberapa serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel berjaya dikeluarkan oleh anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU) susulan kejadian pesawat berkenaan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang pada Februari lalu. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung semua operasi penerbangan membabitkan pesawat Blackshape model BS 115, BK 160, BK 60-200 dan BK 160TR dalam ruang udara Malaysia, berkuat kuasa esok.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantungan ini selaras dengan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) (AD No.: 2024-0074-E) yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) iaitu pihak berkuasa bagi pembuatan pesawat berkenaan semalam (18 Mac) untuk menggantung operasi penerbangan semua pesawat Blackshape, termasuk semua nombor siri berkuat kuasa pada 20 Mac.

Beliau berkata, penerbitan EAD oleh EASA adalah ekoran kemalangan maut membabitkan pesawat Blackshape baru-baru ini, yang telah meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan.

"CAAM komited dalam mengutamakan keselamatan penerbangan di Malaysia dan akan mengambil semua tindakan yang sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat,” katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Februari lepas, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.

Dalam kejadian pada jam 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta kedua-dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu, telah terkorban.

Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan setebal 58 muka surat yang dikeluarkan 13 Mac lepas antaranya menunjukkan berlakunya penyelenggaraan yang tidak teratur dan berat melepasi had, yang direkodkan dalam penilaian kerosakan.

Laporan itu turut menyebut pesawat terbabit juga tidak dilengkapi dengan sebarang perakam data penerbangan selain dua paparan penerbangan utama Garmin G3X GDU 460 di kabin depan dan di kabin belakang pesawat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!