Doping: Sekolah sukan, jurulatih berdepan persepsi negatif

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ISU doping melibatkan atlet pecut negara berusia 17 tahun boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad yang juga pemenang pingat emas acara 100 meter (m) dan 200m Sukan SEA 2003 di Hanoi, bimbang isu berkenaan mengakibatkan ibu bapa berasa tidak 'selamat' untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah sukan atau berlatih di akademi sukan tertentu.

Nazmizan, 38, berkata, ia akan menjejaskan reputasi sesebuah sekolah dan jurulatih bertanggungjawab, selain mengundang tanggapan buruk masyarakat bukan sahaja terhadap sukan itu, malah barisan atlet dan jurulatih berdisiplin yang tidak menggunakan 'jalan pintas'.

"Dalam konteks ini kita harus mengetahui siapa yang bagi (bahan terlarang) kerana berdasarkan pengalaman saya, atlet di usia muda biasanya terima sahaja apa diberikan jurulatih. Atlet biasanya tidak banyak soal kerana menganggap ia sebagai makanan tambahan.

"Isu ini sangat memberi kesan kepada institusi (sekolah dan akademi) dan para jurulatih kerana pandangan negatif daripada ibu bapa. Bila sebut sekolah sukan, ibu-bapa akan takut kerana tidak mahu isu doping ini menimpa anak-anak mereka," katanya kepada Bernama, hari ini.

Semalam, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan atlet tersebut didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019, Ogos tahun lalu.

Atlet lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter itu didapati menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone, sejenis steroid androgenik anabolik dan berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun, jika didapati bersalah.

Siasatan mengenai perkara itu kini telah memasuki fasa akhir dan KOM akan memanggil atlet tersebut dan seorang jurulatih kebangsaan bagi sesi pendengaran kedua minggu hadapan sebelum sebarang keputusan dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Atlet pecut muda negara positif steroid

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nazmizan menasihatkan atlet muda supaya celik mengenai jenis-jenis bahan terlarang dan tidak sewenang-wenangnya mengambil makanan tambahan tanpa nasihat daripada pakar pemakanan sukan.

"Atlet muda kita kena ada satu sifat di mana setiap barang (makanan tambahan) yang orang bagi jangan senang-senang makan kerana walau anda tidak bersalah sekali pun, hukuman tetap dikenakan. Sila baca label terlebih dahulu atau rujuk pakar untuk pastikan ia bebas daripada bahan terlarang," katanya.

Beliau turut menggesa setiap jurulatih supaya kembali kepada etika kejurulatihan selain tidak terlalu menitikberatkan soal fizikal dan prestasi atlet serta mahu mencapai keputusan drastik.

“Kita seharusnya memberi panduan yang baik menerusi perancangan latihan yang sistematik, tidak perlu secara drastik. Umur 17 tahun bukan usia yang sesuai untuk menuai emas di peringkat tertinggi,” katanya sambil menambah tumpuan sepatutnya diberikan terhadap pembentukan jati diri dan menghadapi tekanan di kejohanan peringkat tinggi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!