Minta sedekah guna tong oksigen pula
MACAM-macam perangai dan taktik digunakan oleh pengemis untuk meraih simpati orang awam pada zaman sekarang.
Tidak kiralah sama ada orang tempatan atau warga asing, gaya mereka seolah-olah serupa sahaja.
Selain berpakaian lusuh, membawa bayi atau kanak-kanak, bertongkat, berpura-pura sakit dan jalan mengesot, ada juga dalam kalangan mereka yang berbaring sahaja di kaki lima berbekalkan sebuah mangkuk.
Terbaharu, Sinar Harian melaporkan tular gambar pengemis dipercayai warga asing bermodalkan tong silinder oksigen dan memakai topeng silikon kononnya menghidap penyakit lelah, meminta sedekah bersama seorang kanak-kanak di bazar Ramadan.
Menerusi perkongsian gambar itu di media sosial, netizen memaklumkan pernah terjumpa dua pengemis itu di lokasi berbeza.
Ini bermakna pengemis terbabit akan menukar lokasi bagi memudahkan kerjanya menagih simpati orang ramai.
Dipercayai tindakan itu juga bagi mengelakkan kegiatan mengemis mereka dihidu pihak berkuasa di satu-satu tempat yang sama selepas menerima laporan daripada orang ramai.
Mereka juga menggunakan modus operandi berbeza supaya orang ramai yang melihat akan berasa lebih kasihan dan simpati apatah lagi pada bulan Ramadan yang merupakan bulan umat Islam berlumba-lumba untuk bersedekah.
Ini baru bulan Ramadan, belum lagi masuk bulan Syawal yang dijangka jumlah pengemis bakal bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Mereka akan mudah dilihat di bazar raya, berdekatan masjid atau surau dan juga tanah perkuburan.
Penulis masih ingat beberapa tahun lalu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, penulis sendiri pernah berdepan pengalaman diserbu pengemis ketika menziarahi tanah perkuburan arwah bapa yang terletak di tengah-tengah ibu kota.
Ketika menuju ke pusara arwah, memang penulis ada nampak beberapa pengemis duduk di laluan masuk tetapi jumlahnya tidaklah ramai.
Terdetik niat dalam hati penulis untuk bersedekah kepada mereka selepas selesai mengunjungi pusara arwah bapa, datuk, nenek dan juga bapa saudara yang terletak berdekatan.
Namun sebaik sahaja penulis mengeluarkan duit daripada beg, tiba-tiba jumlah pengemis yang nampak macam sikit sebelum itu menjadi sangat ramai, mereka berkumpul mengelilingi penulis hingga menyesakkan keadaan.
Penulis berasa panik dan terus rasa ingin berlari keluar dari tanah perkuburan.
Mujurlah ketika itu, ada seorang lelaki mengeluarkan duit berkepuk dan pandangan pengemis-pengemis tadi terus beralih kepadanya.
Kejadian itu memberi pengajaran dan pengalaman kepada penulis bahawa sedekah atau derma wajarlah diberikan di tempat yang selayaknya.
Menyentuh harapan orang ramai yang mahu kegiatan pengemis dibasmi sepenuhnya, penulis yakin, bukannya tiada pemantauan pihak berwajib.
Malah setiap kali pihak berwajib melakukan operasi membanteras pengemis jalanan, ada sahaja yang dibongkar.
Di Maran, Pahang baru-baru ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah mendedahkan seorang lelaki mampu meraih sehingga RM500 dalam tempoh beberapa jam hasil mengemis.
Bukan itu sahaja, lelaki berusia 54 tahun itu juga memiliki sebuah kenderaan Proton X70 Premium.
Semakan mendapati, lelaki berkenaan ada menerima elaun pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan namun mula diberhentikan bulan ini susulan penemuan mengejutkan itu.
Justeru, sebelum menderma atau bersedekah ingatlah nasihat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya, orang awam dinasihat agar menyemak latar belakang penerima sebelum menghulurkan bantuan atau sedekah terutama sepanjang bulan Ramadan.
Jangan biarkan sifat pemurah membuka peluang pengemis berada di jalanan.
Sedekah memang amalan yang mulia dan tidak salah untuk bersedekah tetapi bersedekahlah kepada orang dan di tempat yang betul.
* Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Unit Editor Pengisian
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!